Thursday, June 16, 2011

Buru Penggodam

KUALA LUMPUR 16 Jun – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mana-mana kumpulan penggodam termasuk mereka yang menggelarkan diri sebagai ‘anonymous’.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi tujuan itu, kerajaan mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat secara terperinci mengenai identiti dan lokasi penggodam tersebut.

Pada masa yang sama, beliau berkata, siasatan juga dibuat untuk meneliti sejauh mana serangan siber tersebut memberi ancaman kepada keselamatan negara bagi membolehkan segala langkah perlu diambil dengan kadar segera.

“Kita memandang serius perkara ini kerana ia memberi kesan besar kepada perjalanan kerajaan khususnya dari aspek sistem teknologi maklumat. Saya dapat maklumat bahawa sudah banyak laman web kerajaan yang digodam.

“Kita akan menunggu laporan bagaimana permasalahan ini hendak ditangani dan kita harap, tindakan sebegini tidak akan dilakukan secara berterusan. Apa pun kita pantau perkara ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai serangan siber ke atas puluhan laman web kerajaan bermula pukul 3.30 pagi tadi, sehingga menyebabkan operasi laman web tersebut tidak boleh diakses.

Serangan itu dilancarkan oleh kumpulan ‘anonymous’ sebagai tindak balas terhadap ketegasan kerajaan Malaysia mengenakan sekatan terhadap Internet, tayangan filem serta siaran televisyen.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, tindakan tegas yang diambil SKMM ke atas media alternatif yang menggunakan Internet cuma ke atas kenyataan berbentuk hasutan kerana ia boleh mengancam keselamatan negara.

Menurutnya, kerajaan memberi jaminan bahawa dasar untuk tidak menyekat Internet akan terus kekal dan komitmen itu sudah disuarakan berulang kali oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

“Namun, kalau ada mana-mana pihak yang cuba menyalah guna atau melanggar beberapa peruntukan dalam undang-undang negara, SKMM mempunyai sepenuh hak untuk mengambil tindakan,” ujarnya.


malaysian-choice : sepatutnya kerajaan mengambil inisiatif positif dgn mengambil berat akan security laman sesawang mereka. nasib baik local yang attack, kalau oversea attack ? boleh ke ambil tindakan ?