ALOR SETAR 19 Sept. - Tindakan Menteri di Jabatan Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menuduh Utusan Malaysia mempunyai agenda berhubung isu Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) termasuk cuba membawa balik Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri disangkal oleh Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Kedah.
Ketua Penerangannya, Datuk Badri Yunus berkata, tuduhan tersebut adalah tidak berasas sama sekali dan tingkah laku menteri itu yang cuba mengaitkan Dr. Mahathir dalam perkara itu disifatkan sebagai amat menghairankan.
Beliau berkata, semua orang dapat melihat dengan jelas bahawa jika tidak kerana Perkasa dan Dr. Mahathir, perbuatan sesetengah pihak di negara ini yang cuba mempertikaikan orang Melayu termasuk hak-hak mereka yang termaktub dalam Perlembagaan akan menjadi semakin dahsyat.
"Ketika orang Melayu dipertikaikan hak-hak mereka, siapakah yang lantang bangkit mempertahankannya? Bukankah Perkasa dan orang seperti Ibrahim Ali serta Dr. Mahathir yang dilihat ke depan tanpa mengira mereka dihentam semula oleh mereka yang berkenaan.
"Yang paling orang hendak tahu ialah di manakah para pemimpin Melayu seperti Nazri ketika itu?
"Yang kita tahu ialah Nazri tidak berhenti-henti menghentam Dr. Mahathir sejak beliau bersara hingga tampak seolah-olah dia mempunyai dendam peribadi terhadap bekas Perdana Menteri itu," katanya ketika menghubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan ruangan Bisik-Bisik Mingguan oleh Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia hari ini mengenai Nazri.
Tulisan Awang itu menjawab tindakan terbaru Nazri yang lantang mempersoalkan Utusan Malaysia berhubung isu Perkasa.
Malah, Nazri seperti yang dilaporkan oleh portal The Malaysian Insider menuduh Utusan mempunyai agenda untuk membawa balik Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Secara peribadi, Badri memberitahu, beliau amat marah dengan tindak tanduk Nazri selama ini terhadap Dr. Mahathir dalam beberapa siri kecaman termasuk mencabar untuk berlawan.
"Siapakah Nazri jika hendak dibandingkan dengan Dr. Mahathir? Bukan saya saja tapi semua orang tahu peranan dan jasa Dr. Mahathir terhadap negara ini.
"Sedarlah diri dan cermin diri sendiri. Janganlah kerana ada sedikit jawatan, kita jadi sombong dan angkuh hingga mencerca dan mencaci orang yang pernah memberi kita peluang naik hingga ke jawatan hari ini," ujar Badri yang pernah menjadi wakil rakyat selama tiga penggal.
Badri turut sependapat dengan Awang bahawa Nazri perlu menyatakan pendiriannya mengenai siapa ketuanya sekarang memandangkan menteri itu kini dilihat banyak berlembut dengan pembangkang.
Katanya, di sebalik bertindak mengkritik pembangkang, Nazri nampaknya lebih berminat menghentam 'orang sendiri' dan perbuatan itu perlu dijelaskan oleh beliau.
Beliau berkata, penjelasan itu penting bagi memastikan Nazri tidak pula bertukar menjadi beban kepada parti dan kerajaan kerana terlalu asyik dan ghairah menghentam pihak yang diwakilinya sendiri.
comment : menteri di jabatan perdana menteri yang tak kenang budi. tak sedar diri.
No comments:
Post a Comment