SEPANJANG berkecimpung dalam bidang seni suara selama 16 tahun, ternyata kehebatan Datuk Siti Nurhaliza sebagai seorang penyanyi sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi.
tetapi pada kali ini penyanyi berkenaan telah mencabar dirinya untuk menciptakan suatu kelainan bagi album terbaharunya dan kini lahirlah sebuah album Inggeris sulungnya yang berjudul All Your Love.
Dalam satu majlis pelancaran album berkenaan yang diadakan di sebuah pusat beli-belah terkemuka baru-baru ini, Siti menyifatkan kelahiran album tersebut begitu istimewa buat dirinya.
"Selama ini sudah pelbagai jenis lagu di dalam bahasa Melayu yang sudah saya nyanyikan. Akhirnya saya telah mencabar diri untuk muncul pula sebuah album Inggeris.
Menurut penyanyi yang popular menerusi lagu Jerat Percintaan itu lagi, album berkenaan mula dihasilkan pada bulan Januari yang lalu dah telah disiapkan dalam tempoh lima bulan.
Lebih menarik lagi, album Inggeris yang mengandungi 10 buah lagu yang berentak rancak dan diterbitkan oleh What's Up Entertainment itu turut mendapat sentuhan pemuzik antarabangsa.
"Saya rasa sangat beruntung kerana dapat bekerjasama dengan pemuzik yang hebat seperti Bryan B. Sepanjang sesi rakaman dilakukan, dia banyak memberi tunjuk ajar supaya saya dapat menyanyikan lagu-lagu tersebut dengan lebih baik," ujarnya.
Antara lagu-lagu yang terkandung dalam album tersebut seperti All Your Love, Nobody Else, Tonight, All Over Again, I'll Wait Forever, Falling In Love, I Cry Out, Fight For Love dan Stand Up.
Positif
Apa yang menarik tentang album ini juga, Siti turut berduet bersama dengan seorang penyanyi antarabangsa yang cukup popular di seluruh dunia iaitu Sean Kingston menerusi lagu berjudul Remember You.
Meskipun album All Your Love telah berada di pasaran dua hari lebih awal daripada majlis pelancaran, namun Siti memaklumkan sambutan orang ramai terhadap album tersebut sangat menggalakkan.
Menurutnya, sehingga kini album Inggerisnya itu telah terjual sebanyak 3,000 unit dan dia diberitahu bahawa pihak yang mengedarkannya iaitu Warner Music Malaysia sedang dalam proses untuk membuat cetakan yang kedua.
"Saya sangat bersyukur kerana kebanyakan peminat yang telah mendengar lagu-lagu dalam album ini sangat berpuas hati. Malah, saya turut mendapat maklum balas yang positif menerusi komen-komen yang dihantar ke laman Twitter saya.
"Lebih menarik lagi, saya juga kini turut mendapat lebih ramai peminat baharu iaitu yang terdiri daripada kaum Cina dan India yang turut tidak ketinggalan mendapatkan album saya ini," jelasnya.
No comments:
Post a Comment