Saturday, February 11, 2012

Datuk Aziz Satar terima bantuan BR1M...




KUALA LUMPUR - “Pendapatan saya tidak menentu, kadang-kadang ada tawaran, tetapi ada juga tiga hingga empat bulan tiada tawaran berlakon. Kerana itu saya cuba mohon Bantuan Rakyat 1Malaysia ini, dan Alhamdulillah dapat”.

Demikian menurut pelakon dan pelawak veteran Datuk Aziz Sattar, antara penerima BR1M, di kawasan Parlimen Titiwangsa yang disampaikan Pemangku Ketua Umno, Datuk Johari Abdul Ghani.

Bercerita lanjut, Aziz berkata, dia gembira dengan kunjungan pemimpin setempat itu yang melapangkan masa menyampaikan sendiri baucar bantuan tersebut kepadanya.

Beliau berterima kasih kepada Umno Bahagian Titiwangsa yang yang prihatin kepada golongan warga emas sepertinya.

“Kehidupan saya sekarang ini seperti biasa, kalau ada tawaran berlakon, adalah pendapatan. Bila dapat lebih, perlu pandai-pandai uruskan untuk tampung perbelanjaan ketika tiada tawaran,” katanya ketika penyerahan baucar BR1M oleh Umno Bahagian Titiwangsa, di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Ampang Hilir, di sini kelmarin.

Aziz berkata, dia berhasrat bekerjasama dengan Umno Bahagian Titiwangsa menganjurkan program motivasi mengenang mereka yang berjasa kepada negara ini.

Katanya, rakyat perlu didedahkan sumbangan pemimpin sebelum ini sehingga sekarang.

Sementara itu, difahamkan jumlah penerima BR1M di Parlimen Titiwangsa setakat ini seramai 4,975 orang, manakala seramai 4,790 lagi dijangka menerimanya hari ini dalam satu majlis yang akan berlangsung di Pejabat Umno Bahagian Titiwangsa.

sumber sahih

No comments: