Wednesday, August 10, 2011

Raja Penerbangan - Tony Fernandes kini teraju MAS secara bukan bebas










KERJASAMA antara Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia jika dilihat dari sudut perspektif industri adalah satu langkah positif walaupun Malaysia adalah negara kecil, kata Ketua Ekonomi Kumpulan RAM Holdings (RAM), Dr Yeah Kim Leng.
Beliau berkata, rangka kerjasama komprehensif yang ditandatangani kedua-dua syarikat penerbangan itu membolehkan mereka bekerjasama bagi memaksimumkan peluang perniagaan sedia ada. Katanya, sebagai contoh terbaik adalah dalam berkongsi sumber, mengurangkan kos dan meningkatkan hubungan dari segi laluan yang ditawarkan antara kedua-dua syarikat penerbangan selain mewujudkan lebih banyak sinergi. “Sebenarnya persaingan tidak terjadi antara MAS dan AirAsia sebaliknya mereka boleh bekerjasama bagi meningkatkan perkhidmatan serta memberi harga berpatutan kepada konsumer.

“Bagaimanapun, untuk memastikan kerjasama antara syarikat penerbangan terbabit tidak memberi keputusan yang boleh menaikkan sebarang tambang bagi perjalanan domestik, akta persaingan itu perlu dipastikan tiada sebarang monopoli,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Justeru, beliau berkata MAS secara tidak langsung boleh belajar daripada AirAsia dan sebaliknya kerana pesaing sebenarnya adalah syarikat penerbangan dari negara lain.

“Kita harus meletakkan kerjasama ini pada kaedah yang sebaiknya supaya kedua-dua syarikat dapat mempamerkan hasil terbaik dengan mengembangkan operasi mereka ke tahap yang paling optimum sekali gus mewujudkan situasi menang-menang terhadap semua pihak termasuk konsumer,” katanya.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) dalam satu kenyataannya berkata AirAsia, sebagai satu-satunya peserta penerbangan kos rendah Malaysia akan mempunyai kawalan yang lebih baik dalam penawaran dan hasil tanpa persaingan daripada Firefly.


“Terdapat peluang tinggi AirAsia mengendalikan laluan yang sebelum ini hanya eksklusif kepada MAS. Justeru, AirAsia boleh menambahkan laluannya dan mengukuhkan hubungan rangkaiannya,” katanya.

Selain itu, MIDF Research berkata, kerjasama itu akan mewujudkan peluang penjimatan kos kerana kedua-dua syarikat penerbangan itu akan mewujudkan kuasa tawar menawar yang besar bagi tempahan pesawat di masa depan. sumber

No comments: