Datuk Lee Chong Wei
JIKA perlawanan pertama Datuk Lee Chong Wei dijadikan ukuran, ternyata keyakinan pemain itu dilihat menebal dalam pemburuan takhta pertamanya di Kejohanan Dunia.
Selaku pilihan utama kejohanan, Chong Wei jelas hanya menggunakan aksi sulungnya untuk mencuba pelbagai taktikal ketika mudah melangkah ke pusingan kedua dengan kemenangan 21-15, 21-17 ke atas Tanongsak Saensomboonsuk dari Thailand dalam tempoh 31 minit, semalam.
“Saya tahu memang boleh menang, jadi saya membiarkannya mengasak saya untuk melihat sejauh mana dia boleh pergi dengan saya sendiri cuba untuk mempelbagaikan corak permainan saya.
“Sekurang-kurangnya saya dapat beraksi menentang lawan yang boleh memberikan cabaran daripada mereka yang tak mencabar langsung.
“Tapi, yang lebih penting, pertemuan itu memberikan saya keyakinan untuk berdepan dengan mereka yang lebih mencabar,” katanya sambil memberitahu yang 21-17, 21-kesakitan belakang tidak lagi mengganggunya.
Jurulatih Tey Seu Bock pula beranggapan Chong Wei bijak menggunakan perlawanan itu untuk mencuba pelbagai taktik, baik dari segi serangan mahupun sewaktu bertahan.
“Dia begitu tenang dan bermotivasi tinggi, begitu selesa dengan corak permainannya sendiri. Saya tidak perlu memberitahu apa yang perlu dilakukannya kerana dia tahu apa yang perlu dilakukannya. Itu yang lebih penting,” katanya.
Menurutnya, Chong Wei juga tahu menangani tekanan dan kini mengambil setiap perlawanan satu demi satu tanpa terlalu memikirkan terlalu lalu jauh.
“Tekanan memang sentiasa memihak kepada Chong Wei kerana selaku pemain nombor satu dunia, pemain lain akan memberikan yang terbaik untuk menewaskannya. Tapi, saya percaya Chong Wei tahu apa yang perlu dilakukannya,” katanya.
Chong Wei akan berdepan pemain Indonesia, Ayus Rembaka di pusingan kedua, esok.
Sementara itu pasangan kontroversi, Mohd Zakry Latif-Hoon Thien How membuat permulaan meyakinkan apabila menyingkirkan bekas juara dunia 2005, Tony Gunawan-Howard Bach 21-17, 21-14.
No comments:
Post a Comment